nuffnang

NUFF

Ahad, 21 Julai 2013

MONSTERCHEF: RESEPI ASAM PEDAS & BEGEDIL SOSEJ

18 Julai, Dewan Makan Nanga Grenjang

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..

hadirin dan hadirat sekalian. Berdiri saya di sini adalah untuk menyampaikan tajuk syarahan saya iaitu pentingnya menghargai masa!

Hadirin sekalian. Jangan contohi saya kerana terlewat menghadiahkan resepi kepada para pembaca semua.

Sebelum saya meneruskan hujah-hujah saya, mohon saya memperkenalkan diri saya dahulu;

        Anak mengkarung di dalam telaga,
        Anak sembilang di mangkuk tandas, (*euuuu..)
        Saya cikgu Hanis peserta ketiga,
        Masak begedil dan asam pedas,

Hujah saya yang pertama, mengapa resepi asam pedas mesti dibuat seharusnya menepati masa? Pastinya hadirin mahu tahu dan bersiap sedialah dengan pen serta kertas. Silakan salin resepi berikut:

Resepi Asam Pedas

Bahan-bahan
2 ekor ikan tenggiri (atau apa2 ikan, ikut selera)
4 ulas bawang merah-ditumbuk
3 ulas bawang putih-ditumbuk
2 cm kunyit hidup-ditumbuk
2 btg serai dititik
1/2 mangkuk kecil air asam jawa
3-4 sudu besar cili kering yg dimesin
1 1/2 mangkuk kecil air biasa
garam dan gula (ikut rasa)
minyak masak

sedikit belacan

Cara-cara memasak
1. Panaskan minyak, masukkan serai, cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit dan belacan. Tumis hingga naik bau.

2. Bila sudah naik bau, masukkan air asam jawa, kacau dan biar mendidih.

3. Kemudian masukkan serai dan masukkan air. Biar mendidih.



4. Masukkan ikan, garam dan gula. Biar hingga masak ikan dan boleh lah dihidangkan.

dah siap boleh diangkat

Maka, jawapannya menepati masa adalah satu kemestian untuk mengelak kuah menjadi terlalu pekat dan ikan hancur serta hangus jikalau ditinggalkan lama-lama.

Marilah kita menelusuri hujah saya yang kedua, iaitu menghargai masa diibaratkan seperti membentuk begedil menjadi bebola. Kiasan ini diertikan bahawa masa yang bermanfaat tidak berderai dan utuh seperti bebola begedil. Rancanglah penggunaan masa seperti mana kita semua merencana sebiji begedil.

Oleh demikian, saya menyeru kepada hadirin sekali untuk memahami bagaimana sebiji begedil dibentuk.

Resepi Begedil Sosej

Bahan-bahan
5 biji kentang saiz kecil
5 ulas bawang merah
5 batang sosej
5 cubit serbuk lada sulah
5 cubit garam
5 tolak 4 biji telur

Cara membuat
1. Buang kulit kentang dan goreng sehingga ianya boleh dilecek. Kalau rebus kentang menyebabkan ianya terlalu lembik tau. Dah goreng, lecek seperti gambar berikut:

2. Sementara itu, goreng bawang merah dan campurkan dengan sosej yang telah dikisar

3. Campurkan ia ke dalam kentang yang dilecek tadi.

4. Masukkan sedikit lada sulah dan garam


5. Asingkan kuning telur, dan masukkan ke dalam adunan tadi.


6. Gentel-gentelkannya seperti bebola dan leperkannya. Sebagai seorang yang menghargai masa, pastikan henset sentiasa berada di sisi (penggunaan stopwatch diperlukan). *Guna jam randek pun boleh gak.

7. Putih telur yang tadi jangan dibuang (umpama jangan buang masa). Gunakan putih telur itu untuk menyalut begedil yang dibentuk tadi sebelum digoreng.


8. Jangan membazir masa, teruskan usaha menggoreng!




8. Dah siap begedil sosej ni. 

Bahawasanya, kita sudah memahami kaitannya tentang menghargai masa! Sebelum mengakhiri syarahan saya, ingin saya memohon maaf atas kesilapan dan kekhilafan sepanjang program monsterchef ini. Maaf zahir dan batin. Selamat hari raya.

Wabillahitaufik wahidayyah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...