Alkisah bermula sewaktu aku cukup bersemangat nak naik bot ekspress dari sarikei ke kuching tempoh hari.. Begini ceritanya;
Aku sememangnya berkobar-kobar nak rasa pengalaman naik bot ekspress. Apatah lagi, sepanjang 2 tahun lebih berada di sarawak, selalu aje takde kesempatan nak mencuba pengalaman baru ni. Jadi, sempena cuti tahun baru cina..aku nekad nak cuba! Seminggu sebelum cuti itu, aku dengan penuh harapan pergi ke kaunter jualan tiket di terminal 2 sarikei. Tiket mesti dibeli awal, takut kehabisan. Itulah yang bermain di fikiran aku kalau merancang ke sesuatu tempat.
Setibanya aku di terminal 2 untuk membeli tiket, rupanya kaunter masih tutup. Mata aku melilau mencari-cari penjaga kaunter jika ada. tapi, hampa.. kemudian aku ambil keputusan bertanyakan kepada orang yang lebih tahu di kawasan itu. Mata aku terlihat kelibat makcik cleaner kat terminal tu. Sudah pasti dia tau, aku menjangka. Terus aku bertanyakannya. Makcik itu dengan konfidennya memberitahu aku bahawa kaunter jualan sekarang sudah jarang dibuka, biasanya penumpang hanya perlu membayarnya apabila naik bot ekspress.
Kat terminal 2 sarikei. Aku datang seminggu lebih awal untuk booking tiket. Tapi kaunter jualan tutup.
Perasaan kurang yakin untuk membeli tiket ketika bertolak nanti menyebabkan aku bertanyakan beberapa soalan lagi.
"Kalau boleh, saya nak beli tiket awal, takut penuh bot nanti; penjaga kaunter mana?"
"Takpe, sekarang ni bot ekspress dah tak penuh macam dulu-dulu"
"Oh, ya ke? Hmm.. saya nak pergi waktu cuti raya cina nanti, tak penuh ke?"
"Raya cina? Tak ramai.. lagi pun sekolah cuti awal. tengah-tengah cuti, selalunya orang kurang"
"Okey.. lupa saya nak tanya, raya cina ni bot ekspress ada ke?"
"Bot Ekspress memang selalu ada (dengan mimik muka penuh yakin!), cuti pun ekspress masih ada!"
Jadi, aku pun beredar dengan rasa kesal sebab tak berjaya membeli tiket di kaunter. Kata-kata makcik tu membuatkan aku bersemangat semula untuk meneruskan niat tu. Tak apalah, nanti aku akan datang awal-awal supaya sempat naik bot ekspress. berebut-rebut pun aku tak kisah.
Hari yang dinanti telah muncul, iaitu pada hari pertama tahun baru cina. Keadaan sarikei ketika itu hujan. Aku agak cuak memandangkan bot ekspress yang bakal aku naik itu akan menempuh cuaca buruk sepanjang perjalanan ke kuching. Tapi, jiwa aku yang berkobar-kobar (bersemangat membara) tu dapat mengatasi perasaan takut tu.
Walaupun hujan, tak mematahkan semangat aku untuk mencuba naik bot ekspress!
Setibanya di terminal, sungguh sepi keadaannya.. Mungkin terlalu awal aku sampai, getus hati aku. Setelah menapak ke terminal, baru aku tahu bahawa tiada perkhidmatan bot ekspress selama 2 hari, iaitu pada hari raya cina pertama dan kedua! Ada notis ditampal di situ. Arrghh.. rupanya makcik cleaner yang aku jumpa tempoh hari memandai-mandai je buat kenyataan..
Untuk mengubat rasa kecewa, hari tu juga aku terus ke kuching menumpang kereta housemate aku yang kebetulan mahu ke sana. Kami tiba di kuching lewat petang. Sempat ke melawat Kampung Budaya Sarawak (SCV) keesokannya pada hari ke-2 tahun baru cina. Akhirnya, berjaya juga merasa naik bot ekspress dari kuching ke sarikei pada hari ketiga chinese new year tu. Alhamdulillah, tercapai juga keinginan aku..